SHAKLEE

WELCOME TO MY BLOG

Tuesday, December 1, 2015

HSP BIOLOGI TINGKATAN 4






HSP BIOLOGI TINGKATAN 4








Huraian Sukatan Pelajaran ialah dokumen yang memperincikan Sukatan Pelajaran yang bertujuan untuk memenuhi cita-cita murni dan semangat Falsafah Pendidikan Kebangsaan, dan menyediakan murid menghadapi arus globalisasi serta ekonomi berasaskan pengetahuan pada abad ke-21.

Dokumen ini menyarankan strategi pengajaran dan pembelajaran yang merangkumi pelbagai aktiviti dan penggunaan sumber. Guru digalakkan menggunakan kreativiti untuk memilih, menyusun dan mengolah aktiviti mengikut keperluan pengajaran dan pembelajaran. Huraian ini akan dapat membantu guru merancang dan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran secara berkesan.

Dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran, guru perlu memberikan penekanan pada unsur seperti kemahiran berfikir, pembelajaran masteri, kemahiran belajar cara belajar, kecerdasan pelbagai, pembelajaran kontekstual, konstruktivisme, teknologi maklumat dan komunikasi, pembelajaran akses kendiri dan kajian masa depan. Di samping itu, nilai murni, semangat patriotik dan kewarganegaraan tetap diutamakan. Semua unsur ini dapat mewujudkan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan untuk melahirkan murid yang dapat mengaplikasikan kemahiran dan pengetahuan dalam kehidupan harian dan dunia pekerjaan.

Kandungan mata pelajaran Biologi Tingkatan 4 diolah dalam empat tema iaitu Pengenalan kepada Biologi, Menyiasat Sel Sebagai Unit Asas Kehidupan, Menyiasat Fisiologi Kehidupan, dan Menyiasat Hidupan dan Perhubungan dengan Persekitaran. Tema ini seterusnya dikembangkan kepada bidang pembelajaran. Organisasi kandungan Biologi Tingkatan 4 dapat mewujudkan perkaitan antara pelbagai pengetahuan dalam bidang biologi dan merangkumi ilmu biologi yang diperlukan dalam pendidikan biologi di peringkat menengah atas. Di samping itu, kandungan Biologi Tingkatan 4 menyepadukan pemerolehan dan aplikasi pengetahuan, penguasaan kemahiran berfikir dan saintifik, penerapan sikap saintifik dan nilai murni. Kesepaduan ini memberi kefahaman yang lebih bermakna dalam pembelajaran biologi.